Amalan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan


Ada tiga perkara yang seharusnya diamalkan oleh calon-calon peperiksaan bagi memastikan kejayaan serta terus konsisten dalam menghadapi peperiksaan.

1 :: Sebelum hari peperiksaan

Seboleh-bolehnya bermula beberapa minggu sebelum peperiksaan, tingkatkan usaha dan semangat dengan mengulangkaji secara berterusan.

Selain mengulangkaji di rumah atau di sekolah, korang sepatutnya memanfaatkan setiap masa yang ada. Tidak kira walau di mana korang berada (kecuali tandas), cuba ambil peluang dengan membaca nota ringkas yang telah disediakan sebelum ini.

Belajar tu belajar juga. Tapi kesihatan diri penting untuk korang jaga. Jangan diabaikan kesihatan walaupun bersemangat untuk menghadapi peperiksaan. Jangan keterlaluan hingga korang lupa makan dan minum serta kurang tidur, ini akan membuatkan korang jatuh sakit. Dan bila dah sakit nanti, korang tak kan dapat fokus dalam mengulangkaji.

Selain dari persiapan diri, keperluan untuk peperiksaan jangan dilupakan, antaranya pensel 2B, pemadam dan pengasah pensel serta lain-lain peralatan menulis dan yang berkaitan. Pastikan peralatan ni disediakan lebih awal. Double-check agar korang tak lupa bawa pada hari peperiksaan.

2 :: Semasa hari peperiksaan

Bangun awal dan bersihkan diri, supaya korang rasa segar semasa menghadapi peperiksaan. Dan pastikan korang bersarapan.

Jika korang bangun lewat, korang tidak hanya tak sempat bersarapan malah korang akan rasa tergesa-gesa dan mungkin paling teruk korang tak sempat nak mandi. Ini akan buat korang rasa panik, tak yakin pada diri dan kurang menumpukan perhatian pada peperiksaan.

Sebelum pergi peperiksaan, jangan lupa bersalaman dengan ibubapa korang. Mohon restu dan doa agar korang tenang dan dipermudahkan menjawab soalan.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, tenangkan hati dan menganggap peperiksaan itu hanya sesuatu yang biasa (inilah pentingnya korang kena buat latih tubi sebelum peperiksaan).

Semasa peperiksaan berlangsung. Terus menjawab soalan yang mudah dahulu, abaikan sementara soalan yang sukar buat korang. Dengan cara ni, korang akan ada lebih masa untuk menjawab soalan-soalan yang sukar.

Jika menjawab soalan yang berbentuk objektif, ketelitian amat perlu. Ini kerana biasanya pilihan jawapan objektif adalah seakan-akan sama. Pastikan jawapan dalam kertas soalan adalah sama dengan jawapan yang ditanda dalam kertas jawapan.

Selepas selesai menjawab soalan samada soalan subjektif atau objektif, semakan terakhir amat penting dilakukan. Ini untuk memastikan korang tak salah jawab, jadi peruntukkan sedikit masa untuk membuat semakan terakhir.

3 :: Selepas peperiksaan

Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan tu, elakkan diri dari berbincang mengenainya. Ini bagi mengelakkan korang berasa kecewa bila mendapati jawapan korang tu salah.

Lebih baik korang fokus dan berbincang tentang kertas peperiksaan seterusnya untuk mengekalkan semangat dan mengelakkan fikiran terganggu dengan peperiksaan yang telah diduduki.

About these ads