Kisah “Raja Sampah”, masih ingin terus berkhidmat untuk masyarakat…


Nazim suka untuk berkongsi tentang kisah hidup seorang warga emas, Yahya Bakar yang kini berusia 65 tahun. Walaupun di usia senja & hidup sebatang kara tapi tak pernah mematahkan semangatnya untuk terus hidup.
Kadang-kadang kita merasakan diri kita malang, teruk, tak berguna, merasa terlalu merendah diri. Namun kita lupa, sebenarnya diluar sana masih ada orang lain yang bernasib kurang baik lebih dari yang kita rasa…
Ikuti kisah beliau, “yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan”…

(dipetik dari Harian Metro, Isnin, 31 Oktober 2011)

Kuala Lumpur : “Di penghujung usia ini, saya sepatutnya sudah menimang cucu tetapi apakan daya saya tidak mampu untuk berkahwin dan terpaksa memilih kehidupan sebagai pemungut sampah, kerana ini saja mampu memberikan sesuap nasi selain berbakti pada masyarakat,” kata warga emas, Yahya Bakar, 63, atau popular dengan gelaran Wak Kang.

Dia yang juga dikenali sebagai “Raja Sampah” di kalangan penduduk Blok 21, Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini, berkongsi pengalaman hidupnya ketika ditemui di apartmen itu baru-baru ini.

Yahya yang berasal dari Teluk Intan, Perak, berkata, biarpun orang ramai menganggap kehidupan sebagai pemungut sampah sebagai pekerjaan jijik, namun baginya itulah yang dapat disumbangkan kepada masyarakat di akhir usianya.

Dia yang tak berkahwin berkata, lebih 10 tahun dia menjadi pemungut sampah di Pantai Dalam dan terpaksa memilih pekerjaan itu sebagai kerjaya sedangkan warga emas seusianya sedang berehat di rumah dan menimang cucu.

Katanya, dengan bayaran hanya RM450 sebulan, dia terpaksa mencari alternatif lain menambah pendapatan termasuklah menjual surat khabar lama, besi buruk, kotak dan barangan terpakai yang membolehkan memperoleh wang tambahan kira-kira RM150 sebulan.

Mengimbas kehidupan “Raja Sampah” itu, katanya, kehadirannya di ibu kota bermula sejak 15 tahun lalu ketika kawasan itu masih lombong dan belum dibangunkan.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai buruh binaan di kampung, disebabkan mahu mencari kehidupan yang lebih baik saya berhijrah ke ibu kota dengan bekerja di kilang getah dan menetap di Kampung Kerinchi.”

“Namun, kilang berkenaan ditutup dan takdir menentukan yang pemungut sampah menjadi pekerjaan terakhir saya di akhir usia ini,” katanya.

Menurutnya, dia pernah mengimpikan berkahwin dulu tetapi disebabkan kedaifan hidup selain pernah berfikir hanya mahu berkhidmat pada masyarakat dengan mengutip sampah, dia membatalkan hasrat itu.