Keluarga OKU masih bersyukur dengan kekurangan diri…


NM turut berasa terharu dengan kisah keluarga OKU ini. Bagaimana mereka masih tetap bersyukur dengan kekurangan yang dihadapi, namun masih percaya setiap kejadian di dunia ini punya hikmah disebaliknya…

Kuala Terengganu :: Dia gadis pandai tetapi diuji dengan sepasang kaki istimewa yang terlalu rapuh hingga pernah patah sebanyak hampir 50 kali, menyebabkan dia kini tidak lagi mampu untuk berjalan.

Akibat kekurangan itu, Nurul Fatihah Hashim, 16, kini menjadi pemalu dan kurang keyakinan diri, sedangkan dulu dia murid cerdik dengan pencapaian 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mengekalkan keputusan baik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Untuk bergerak Fatihah terpaksa menggunakan kerusi roda sambil kebiasaannya menyembunyikan kedua-dua kakinya kerana malu dan tidak sanggup diejek rakan sebaya.

Selain Fatihah, dugaan ini turut dikongsi oleh bapanya, Hashim Omar, 53, abangnya, Asrul, 23, dan pasangan kembarnya, Mohd Syafiq, 16. Cuma masalah yang dihadapi Fatihah, paling kronik.

Menurut Mohd Syafiq, kehadiran Aidilfitri dan Aidiladha dalam sejarah hidupnya tidak pernah seceria orang lain kerana mereka tidak boleh bergerak jauh seperti remaja lain, selain hidup serba kekurangan dengan kakinya yang rapuh.

“Sebenarnya saya sudah biasa begini, ada pelajar sekolah mengejek memanggil kami penyu kerana keadaan kaki dan pergerakan saya seperti reptilia itu.”

“Mulanya malu juga, namun lama-kelamaan saya tidak peduli, cuma kakak yang masih malu. Mungkin ini kerana keadaan kakinya semakin teruk sejak kami membesar.”

“Pernah satu ketika, kerusi roda kakak ditarik atau dihentak pelajar nakal menyebabkan kakinya patah, namun selepas insiden itu kami tidak lagi diganggu kerana mereka takut melihat kesan yang kami tanggung akibat perbuatan mereka,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di perkampungan Orang Kurang Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang.

Syafiq mewarisi penyakit tulang rapuh dari ayahnya, Hashim, menyebabkan organ kakinya patah tidak kurang 20 kali hanya tersepak tunggul, tersepak kaki sendiri, terhentak, jatuh kerusi roda atau tersilap duduk dan akibatnya betisnya membengkok. Lebih memburukkan keadaan, kulitnya sensitif dan luka jika terkena seluar yang dipakai.

Bagaimanapun, Fatihah mengalami kesan paling teruk akibat kakinya patah hampir 50 kali, menyebabkan kedua-dua kakinya semalin melidi dan membengkok. Dia terpaksa mengensot untuk bergerak atau berkerusi roda ketika di sekolah.

“Setiap kali patah, kami memerlukan dua hingga tiga bulan untuk kembali pulih dan keadaan itu menyebabkan pelajaran kami terjejas. Biasanya kakak yang sering mengulangkaji pelajaran dirumah, jadi tidak hairan dia mmpu menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Syafiq dan Fatihah biasanya menjalani aktiviti bersam, menyebabkan mereka seakan-akan tidak dapat dipisahkan dan ia mungkin kerana perkongsian rahim kira-kira 15 tahun dulu. Namun yang membezakan mereka ialah Fatihah kini menjadi semakin pemalu dan kurang keyakinan diri. Sebaliknya Syafiq yang hanya mengalami sindrom itu pada kaki kanan dilihat tetap aktif walaupun pergerakan terbatas keran masih mampu menggunakan sebelah lagi kakinya untuk bergerak.

Hashim berkata, sindrom itu dialami ketika dia berusia belasan tahun dan ia berjangkit pula kepada tiga daripada lapan orang anaknya.

“Saya bernasib baik kerana kerapuhan tulang saya hanya berlaku dari paras paha ke bawah, menyebabkan organ lain tidak terjejas, dan doktor menasihatkan kami sekeluarga minum susu khas untuk mengekalkan kekuataan tulang dan bukan untuk menguatkan tulang.”

“Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tidak mampu membelanjakan setin susu RM5O seminggu, tetapi masih bersyukur dengan apa yang diterima kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sekeluarga,” katanya.

Menurut Hashim, ketiga-tiga anaknya mengalami sindrom tulang rapuh sejak berusia 18 bulan, iaitu ketika mula belajar berjalan, sekaligus menjejaskan pembesaran mereka kerana tidak dapat bergerak aktif berikutan risau cedera terlanggar tunggul kayu atau anak tangga.

“Jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibat antara dua hingga tiga bulan sementara menunggu kecederaan pulih semula. Fatihah kini menganggung rasa sakit dan malu yang teramat sangat kerana kesan patah sehingga 50 kali, menyebabkan struktur kaki semakin pipih seolah-olah akar kayu,”

“Fatihah yang semakin meningkat remaja kini menjadi pemalu dengan kekurangan dirinya dan hanya tuhan dapat memahami kami sekeluarga kerana penyakit dialami tiada penawarnya,” katanya.

Empat beranak itu terpaksa menyusun langkah berhati-hati setiap hari supaya tulang tidak patah lagi, manakala Fatihah menggunakan sebiji bantal bagi memudahkannya mengensot untuk bergerak dirumah. Ketika diluar rumah, hanya kerusi roda menjadi teman dan Fatihah kurang bergaul dengan rakan.

Hashim berkata lagi, keluarganya menempuhi kesukaran hidup dengan penuh kesabaran dan saling menjaga antara satu sama lain bagi mengelak ditimpa kemalangan.

“Sebenarnya saya bersyukur dengan keadaan ini kerana ada hikmah disebaliknya. Ia serba sedikit membuktikan kesetiaan isteri, Nurazimah Husin, 46, yang tetap bersama-sama menghadapi dugaan ini,”

“Pengorbanan isteri dan anak-anak sangat bernilai bagi saya, cukup dengan apa yang mereka tanggung. Setiap kali Aidiladha, saya memanjatkan kesyukuran dengan kesanggupan mereka berkorban keinginan untuk hidup senang seperti orang lain,”

“Kadangkala saya hampir putus harapan kerana tidak mampu memberikan kelengkapan atau keperluan mewah kepada mereka,”

“Namun apakan daya, dengan kudrat yang kini tidak seberapa, kami sekeluarga masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan bulanan RM300 dari JKM,” kata Hashim…

Sumber :: Metro Ahad, 06 November 2011