Pemuda maut kemalangan jalan raya, kempunan lemang dan rendang…


Bahaya juga kempunan ni kan… Sebab tu menjadi kebiasaan suku-suku kaum di Sabah ni untuk mencubit sedikit hidangan jika tidak sempat untuk dijamah…

“Saspun!” bilang dorang. ~_^

Tapi menurut NM, kejadian ni bukanlah disebabkan kempunan. Cuma kebetulan ia terjadi… ^_^

Kuala Lumpur :: Seorang pemuda tidak sempat menjamah lemang dan rendang yang dibekalkan ibu saudaranya apabila terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kemenshah, Taman Zoo View, Ampang, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Salehuddin Mat Lazim, 25, yang juga penuntut tahun akhir Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika itu dalam perjalanan ke rumahnya di Setapak selepas berkunjung ke rumah ibu saudaranya sempena sambutan Aidiladha.

Dalam kejadian berhampiran Zoo Negara kira-kira jam 2.30 petang itu, motosikal yang ditunggang Salehuddin dipercayai merempuh sebuah van yang sedang membelok ke kiri memasuki persimpangan jalan.

Difahamkan, mangsa terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah dibahagian kepala selepas tercampak ke cermin sisi van berkenaan akibat rempuhan kuat itu.

Suasana di lokasi kejadian pilu apabila beberapa ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak sebaik tiba di situ selepas dimaklumkan tentang kemalangan itu.

Ibu saudara mangsa, Azizah Abdul Rahman, 48, berkata, dia membekalkan lemang dan rendang untuk makan malam anak saudaranya yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta di sini.

“Saya tak sangka sambutan Aidiladha kali ini menjadi kenangan pahit buat kami sekeluarga, terutama kepada ibu bapanya di Terengganu,”

“Ketika berbual dengan arwah pagi tadi (semalam), saya hairan dengan kelakuan arwah yang tidak banyak bercakap dan hanya menjawab tidak tahu apabila ditanya tentang persiapan perkahwinan abangnya yang akan dilangsungkan pada 25 November ini,” katanya.

Menurut Azizah, agak aneh juga apabila arwah tidak menghubungi keluarganya di kampung pada pagi raya dan hanya memberi jawapan tidak tahu ketika ditanya mengenai khabar mereka.

“Semua soalan yang ditanya dijawab tidak tahu, malah arwah lebih banayak berdiam diri dan tidak ceria seperti selalu berkunjung ke rumah saya,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber :: Harian Metro, 7 November 2011.