Tazkirah Jumaat :: Kenapa ikan tidak berlidah?


Setiap kejadian itu ada suatu hikmah yang tersembunyi… Kerana itulah kita dituntut untuk berasa redha dengan setiap apa yang menimpa ke atas kita, samada yang baik mahupun yang buruk. Dengan redha dan sabar dengan setiap kejadian itu, kita dapat melihat dengan jelas sekaligus InsyAllah menikmati hikmah yang telah disediakan buat kita…

Rasulullah SAW bersabda, “Sejahat-jahat manusia pada Hari Kiamat nanti, ialah orang yang bermuka dua. Barangsiapa bermuka dua di dunia maka di Hari Kiamat kelak, dia akan mempunyai dua lidah dari lidah api neraka Jahanam,”

Sabda Rasulullah lagi, “Tidak akan masuk Syurga orang yang suka membesar-besarkan cerita.”

Bila ditanya ‘apakah hikmahnya’, Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah telah menciptakan semua makhluk itu mempunyai lidah, samada yang boleh berkata-kata atau tidak boleh berkata-kata,”

Salah seorang sahabat pun bertanya, “Kenapa ikan tidak mempunyai lidah?”

Sabda Rasulullah SAW, “Setelah Allah selesai menciptakan Adam AS, maka diperintahkan sekalian Malaikat agar tunduk sujud kepadanya. Semua Malaikat patuh kepada perintah itu kecuali Iblis laknat. Oleh kerana Iblis enggan sujud maka Allah melaknatnya serta mengusirnya keluar dari Syurga dan dihapuskan rupanya yang elok itu, lalu dihantar Iblis ke bumi. Apabila diturunkan ke bumi, Iblis terus turun ke laut. Pertama sekali yang dijumpai oleh Iblis ialah ikan. Iblis menceritakan kekurangan dan keburukan Adam AS kepada ikan, katanya, ‘Sesungguhnya Adam itu amat suka memburu dan membunuh binatang-binatang yang ada di laut dan di darat.’ Apabila ikan mendengar kata-kata Iblis itu, ia pun segera menghebahkannya kepada binatang laut yang lain berita tentang Adam AS. Oleh kerana Allah tidak menyenangi perbuatan ikan inilah lalu dihilangkan lidahnya agar tidak menyampaikan perkara yang tidak benar.”

Wallahualam