Berbahagialah saat ini dengan apa yang kau miliki…


Kebiasaannya kita sering melihat orang lain lebih bahagia dari kita. Padahal orang lain pun merasakan hal yang sama dengan kita. Kita dianggap oleh orang lain sebagai mempunyai nasib yang lebih baik dari mereka. Dan kita pula menganggap orang lain mempunyai nasib yang lebih baik dari kita.

Kita sering melihat diri kita banyak kekurangan dan melihat orang lain mempunyai lebih banyak kelebihan. Sedangkan orang lain memikirkan yang sebaliknya.

Jadi siapakah yang lebih bernasib baik jika semua orang berfikiran begitu?

Setiap orang yang merasakan banyak kekurangan akhirnya akan merasa rendah diri, tidak berkeyakinan, bersedih dan murung. Dan orang lain yang dirasakan bahagia juga berasa keadaan yang sama.

Bagaimanakah untuk berasa bahagia?

RAHSIANYA adalah bersyukur setiap masa. Usahlah kita cuba mencari-cari kekurangan diri sehingga terlupa pada kelebihan yang kita ada. Fokuskan pada apa yang sedang kita miliki dan manfaatkan sepenuhnya dengan kesyukuran kepada Maha Pencipta, yang telah mengurniakan apa yang sedang kita miliki. Apa yang kita miliki hari ini, walau sekecil mana dan seperti tidak berharga, namun di mata orang lain ia sangat besar dan tak ternilai.

Sekaranglah waktu yang tepat untuk berasa bahagia dan bersyukur, tanpa perlu menunggu waktu yang sesuai. Kerana waktu untuk berasa bahagia itu tidak akan sampai kepada kita, sehinggalah kita yang memulakannya dengan bersyukur.

Sesungguhnya, kita manusia, walau memiliki seluruh tanah di muka bumi ini beserta isinya namun kita akan masih merasakan kekurangan. Maka berbahagialah saat ini dengan apa yang kau miliki…