Nabi Sulaiman A.S dengan kubah ajaib


Pada suatu hari Nabi ALLAH Sulaiman telah menerima wahyu daripada ALLAH supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang dinyatakan di dalam wahyu tersebut. Baginda diiringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.

Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-intai untuk mencari sesuatu yang seperti dikatakan oleh ALLAH. Setelah lama mencari, baginda belum juga menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka yang mengiringi Nabi Sulaiman, “mungkin tersalah tempat”. Tetapi baginda menjawab, “tidak, di sinilah tempatnya”.

Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik dan ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman, “adakah kamu menyelam sehingga ke dasar laut?”. Jin Ifrit menjawab, “tidak”.

Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda seperti yang dikatakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan melaporkannya kepada Nabi Sulaiman.

Perdana menterinya yang bernama Asif Bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang amat cantik.

Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tetap tidak masuk ke dalam kubah tersebut.

Dengan kuasa yang diberikan oleh ALLAH, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah itu dengan penuh takjub di atas kebesaran ALLAH.

Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut dengan lebih dekat. Setelah menjenguk ke dalam didapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajat kepada ALLAH.

Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda tersebut. Pemuda itu menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya bahawa dia adalah Nabi ALLAH Sulaiman A.S. Pemuda itu bertanya, “dari manakah mereka ini dan bagaimana mereka datang?”.

Pemuda itu berasa hairan dan setelah menjenguk ke luar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh ALLAH untuk melihat keajaiban yang telah dikurniakan oleh ALLAH kepadanya. Setelah mendapat izin daripada pemuda itu, Nabi Sulaiman meninjau ke dalam untuk melihat benda ajaib yang dihiasi di dalam kubah itu. Keindahannya sungguh menakjubkan.

Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta.

Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggil dan memaklumkan bahawa dia telah rela di atas khidmat yang diberikan oleh anaknya itu. Ibunya berdoa kepada ALLAH supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada ALLAH.

Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah memanggil dan memaklumkannya yang dia juga telah rela di atas khidmat yang diberikan oleh anaknya itu. Bapanya berdoa kepada ALLAH supaya anaknya diletakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.

Doa kedua orang tuanya telah dikabulkan oleh ALLAH. Suatu hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda itu menghampiri kubah itu, ada suara yang menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalamnya. Sebaik sahaja ia masuk dan meninjau ke dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul suatu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan oleh ALLAH. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan ALLAH untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda itu terus bermunajat kepada ALLAH sehingga ke hari ia di temukan oleh Nabi Sulaiman A.S.

Nabi Sulaiman bertanya, “berapa lamakah kamu telah berada di dalam kubah ini?”

Pemuda itu menjawab, “saya tidak menghitungnya tetapi telah mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Ibrahim A.S”

Nabi Sulaiman menghitung, “ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun. Rupamu tidak berubah malah sentiasa muda,”

Nabi Sulaiman bertanya, “adakah kamu mahu kembali ke tempat asalmu?”

Pemuda itu menjawab, “ya, silalah menghantarku ke tempat asalku”

Nabi Sulaiman pun mengarahkan Perdana menterinya Asif membawa kubah tersebut ke tempat asal ia di temui.

Setelah kubah tersebut diletakkan di tempat asalnya, Nabi Sulaiman kepada kaumnya, “Kamu semua telah melihat keajaiban yang telah dikurniakan oleh ALLAH. Lihatlah betapa besar balasan yang telah diberikan oleh ALLAH kepada orang yang taat kepada kedua orang tuanya.”

Nabi Sulaiman pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada ALLAH Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.

Sesungguhnya ALLAH menjanjikan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang berkhidmat dengan setia dan taat kepada ibubapa.

Wallahualam…